By Hsarena (UNIMAS)
Tuesday 03 April 2018, 08:00am – 05:00pm

Kota Samarahan, 3 April 2018: Lebih 1000 orang peserta terdiri daripada Pengetua/Guru Besar, guru STEM, guru bimbingan, kaunselor, wakil-wakil dari PIBG, Jabatan Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, Institut Pendidikan Guru dan universiti telah menyertai Kolokium Pendidikan STEM Zon Sarawak hari ini.

Majlis perasmian Kolokium Pendidikan STEM telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin anak Jawong, di DeTAR PUTRA UNIMAS, pagi tadi.

Kolokium tersebut merupakan kerjasama di antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak serta pihak industri di Sarawak mahupun dari Semenanjung Malaysia.

Dalam ucapan, Dato Sri Michael Manyin yang juga mewakili Ketua Menteri Sarawak menyatakan rasa penghargaan kepada UNIMAS dan agensi-agensi yang berkaitan dalam penganjuran kolokium itu .

Menurut beliau, adalah menepati masa kolokium tersebut dianjurkan memandangkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kini menjadi bidang tumpuan bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat dunia.

“ Ini kerana STEM adalah bidang yang akan membantu melonjakkan pembangunan negara ke tahap negara maju. Justeru, adalah bertepatan penganjuran kolokium sebegini dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KPM telah mengambil langkah memperkenalkan inisiatif pengukuhan pendidikan STEM melalui PPPM 2013-2025 dalam usaha menggalakkan murid mengikuti bidang STEM di peringkat menengah dan lepas menengah.

Ini merupakan satu langkah penting kerana asas yang kukuh dalam STEM membolehkan murid berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah dan bagi menyediakan murid menjadi pekerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

Inisiatif pengukuhan pendidikan STEM dirancang dengan mengambil kira enam aspirasi keberhasilan murid di samping menyediakan murid yang berkelayakan dan mencukupi dalam bidang STEM melalui tiga langkah iaitu meningkatkan minat murid melalui pendekatan PdP yang baharu dan pemantapan kurikulum, meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru dan meningkatkan kesedaran murid dan orang awam.

Kolokium ini dilihat sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru dalam bidang STEM dengan kerjasama institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pihak industri berkonsepkan NBOS iaitu, penggunaan tempat dan kepakaran pihak universiti adalah secara percuma manakala pihak industri juga memberikan sumbangan tanpa sebarang bayaran.

Tema Kolokium Pendidikan STEM ialah “Pendidikan Menerusi Penerokaan”. Pada tahun 2018 ini, kolokium pendidikan STEM telah dirancang untuk dilaksanakan di empat zon iaitu di Sarawak (UNIMAS), Sabah (UMS), Kelantan (UMK) dan Perak (UPSI) yang melibatkan hampir 1200 peserta di setiap zon.

Ini merupakan kesinambungan kepada kolokium yang telah dilaksanakan pada tahun 2017 di Zon Tengah (USIM), Zon Timur (UMT), Zon Utara (USM) dan Zon Selatan (UTHM) yang melibatkan lebih 6000 guru kesemuanya.

Tujuan utama kolokium ini adalah untuk meningkatkan kompetensi, pengetahuan dan kemahiran guru bagi memantapkan PdP berkaitan mata pelajaran STEM dan memperoleh maklumat terkini berkaitan kerjaya STEM supaya pendidik dapat menyebarluaskannya kepada murid;

Selain itu, ia juga untuk mewujudkan rangkaian kerjasama antara penggubal dasar, ahli akademik, pendidik, kaunselor, agensi kerajaan dan bukan kerajaan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi melaksanakan program berkaitan pendidikan STEM dan berkongsi amalan terbaik bagi menjayakan pendidikan STEM.

Original article here
Credit: UNIMAS

Load More By admin
Load More In Highlight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

MyIoT – IoT Empowering Rail Industry